Saranan kajian semula penggunaan dinar emas dalam pasaran yang dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom adalah susulan kesedaran bahawa menerusi pengamalan sistem kewangan global masa kini yang berteraskan nilai berasaskan wang kertas serta paling penting ia berlandaskan riba yang pasti bercanggah dengan prinsip ajaran Islam adalah penghujahan asas betapa prihatinannya kerajaan Malaysia dalam ‘mendaulatkan’ sistem kewangan Islam secara optimum dan progresif.
Penggunaan nilai dinar emas dalam perdagangan antarabangsa khususnya yang melibatkan antara negara-negara anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) yang dinyatakan perlu dikaji semula dan diteruskan seperti yang telah disarankan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak sedekad lalu ada kewajarannya.
Kesedaran bahawa menerusi penggunaan dinar emas sebagai alat menyimpan nilai dan perantara pertukaran yang mantap serta bebas dari ‘manipulasi nilai’ terutama dalam perdagangan antarabangsa adalah penyebab utama kepada gesaan supaya bukan sahaja Malaysia tetapi negara Islam lain untuk bersepakat menggunakan dinar emas sebagai perantara ‘nilai dagangan’.
Justeru, pandangan Datuk Jamil Khir Baharom adalah bertepatan dengan peranan yang telah sekian lama dimainkan Malaysia dalam mempromosi sistem kewangan Islam sebagai satu sistem alternatif kepada corak pengamalan kapitalisme yang diamalkan komuniti perdagangan sejagat.
|