Bangunan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di New York ‘bergegar’ seketika berikutan kelantangan suara Presiden Libya, Muammar Gaddafi yang menghentam anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dalam ucapan pertamanya pada 24 September lalu. Beliau mahu PBB menjalankan fungsi sebenar sebagai `parlimen dunia’ - badan dianggotai 192 negara yang ada kuasa menetap dan mengubah keputusan Majlis Keselamatan.
Sejak dua dekad lalu, negara kuasa ekonomi seperti Jerman, India, Jepun dan Brazil menggesa diwujudkan pembaharuan dalam keanggotaan Majlis Keselamatan dengan menambah kerusi. Beliau tidak mahu anggota yang ada sekarang - Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Russia dan China menggunakan kuasa veto sewenang-wenangnya.
Sambil menyifatkan anggota tetap Majlis Keselamatan yang ada sekarang sebagai `Majlis Pengganas’, Gaddafi mahu pertubuhan dan gabungan serantau seperti Liga Arab, Pertubuhan Negara Afrika dan Pergerakan Negara Berkecuali (NAM) diberi kerusi tetap dalam Majlis Keselamatan badan dunia itu. Bagi Malaysia, sudah tentu mengharapkan negara Asean yang dihuni hampir 400 juta penduduk diberi satu suara dalam majlis berkenaan.
Jelas, lima negara anggota tetap berlagak sombong dan besar kepala. Negara berkenaan tidak sepatutnya diberi kuasa veto dalam sesuatu keputusan yang membabitkan banyak negara terutama negara membangun. PBB wajar memperbesarkan majlis dengan tambahan negara anggota. Jika keadaan ini berterusan, sebahagian besar negara di muka bumi ini tiada lagi rasa hormat kepada PBB dan Perhimpunan Agung.
|