Prof Dr Ismawi Zen bukanlah orang baru dalam bidang perancangan bandar dan seni bina Islam tetapi pemilihan beliau menjadi salah seorang daripada enam orang Panel Antarabangsa Pembesaran Masjidil Haram di kota Makkah selaku penasihat kepada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud dalam projek mega pembangunan semula kota Makkah al-Mukkaramah yang juga satu-satunya wakil dari Asia benar-benar mengharumkan nama Malaysia di mata dunia Islam.
Ikuti temu bual ekselusif wartawan Milenia Muslim, Faizal Riduan dengan Dr Ismawi yang kini berkhidmat sebagai Pensyarah Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
MILENIA MUSLIM(MM): Apakah perasaan Prof apabila terpilih menjadi antara salah seorang daripada enam ahli panel antarabangsa dalam projek mega itu?
Prof Dr Ismawi Zen (DIZ): Semuanya bermula melalui satu panggilan telefon dari wakil kerajaan Arab Saudi pada 23 September 2008 iaitu ketika saya berada di Pasar Namdaemon di Seoul, Korea Selatan mengambil sedikit masa dari menghadiri satu majlis penganugerahan ke atas UIAM.
Panggilan ringkas yang tidak sampai dua minit itu mengamanahkan saya untuk menjadi salah seorang daripada ahli panel antarabangsa untuk pembesaran Masjidil Haram benar-benar menyebabkan saya terkejut dan terkedu sehingga saya tidak dapat tidur semalaman.
Saya agak gementar apabila diberitahu mengenai nama tiga lagi ahli panel yang sememangnya tokoh terkenal di dunia menyebabkan saya rasa seolah-olah tidak berkelayakan untuk menduduki jawatan itu. Malah saya keliru dan bertanya mengapa saya dipilih? Namun saya diberitahu bahawa pemilihan panel telah mendapat perkenan daripada Raja Abdullah, Ketua Kerajaan Arab Saudi yang juga Penjaga Tanah Suci.
|